| Letih adalah perkara biasa yang dialami semua orang, tetapi bagi sesetengah individu mereka lebih cepat letih, mengantuk dan tidak bertenaga walaupun mendapat rehat secukupnya. Ada banyak faktor menyebabkan keletihan, tetapi yang paling biasa ialah masalah kekurangan darah atau anemia. Anemia dianggap antara masalah paling lazim, terutama di kalangan wanita. Dianggarkan satu daripada lima orang mengalami masalah kurang sel darah merah yang menyebabkan mereka mudah letih, sukar menumpukan perhatian, tercungap-cungap dan pada kes teruk, seseorang boleh pitam secara tiba-tiba. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kadar kelaziman anemia paling tinggi berlaku di kalangan penduduk Asia Tenggara iaitu 57 peratus. Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2007 mendapati 38 peratus wanita Malaysia mengalami masalah kekurangan darah dan 84.8 peratus tidak mendapat cukup asid folik iaitu satu daripada vitamin B yang membantu badan menghasilkan sel baru, termasuk sel darah merah. Kadar kelaziman anemia di kalangan wanita hamil juga tinggi iaitu sehingga 35 peratus, tetapi kebanyakannya dikategorikan anemia ringan dan masalah ini lebih kerap berlaku pada wanita India dan Melayu. Namun, kebanyakan orang tidak sedar mereka mengalami masalah anemia kerana gejala ditunjukkan bersifat umum dan ia hanya dapat dikesan melalui ujian darah. Apabila seseorang dikatakan ada masalah anemia, dia sebenarnya kekurangan sel darah merah atau hemoglobin iaitu protein yang memberi warna merah kepada sel darah. Hemoglobin berfungsi sebagai membawa oksigen daripada paru-paru ke semua sel dan organ dalam badan. Kekurangan oksigen ini menjejaskan fungsi organ dan ia tidak dapat menjalankan tugasnya dengan cekap. Menurut Perunding Perubatan Kanan Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr Aminuddin Ahmad, anemia bukan penyakit, tetapi ia boleh menjejaskan kecekapan fungsi badan. Apabila badan tidak cukup oksigen, bermakna kandungan karbon dioksida lebih banyak. Kehadiran berlebihan karbon dioksida menyebabkan badan menjadi lebih berasid. Keadaan ini memaksa paru-paru dan jantung bekerja lebih kuat untuk memasukkan lebih banyak oksigen ke dalam darah. Ini menyebabkan individu anemia tercungap-cungap selepas melakukan kerja ringan. Tanda anemia Gejala anemia mengambil masa panjang untuk dilihat. Namun, jika ia dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan: # Kulit pucat # Lemah seluruh badan # Selalu pening # Jantung berdegup lebih pantas # Sakit kepala # Sesak nafas dan tercungap-cungap ketika melakukan kerja # Tangan dan kaki berasa kebas # Keadaan di atas mungkin jadi lebih teruk jika hamil # Lidah menjadi licin # Ulser di tepi mulut yang menyebabkan rasa sakit # Kuku menjadi kering, terkopek atau berbentuk seperti sudu Jenis Menurut Dr Aminuddin, anemia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu: # Anemia akibat kekurangan zat besi — Ini adalah punca anemia paling biasa dihadapi kebanyakan orang, termasuk wanita (20 peratus), wanita hamil (50 peratus) dan lelaki (tiga peratus). Zat besi diperoleh daripada makanan dan proses penggunaan semula zat besi sedia ada dalam badan (daripada sel darah merah yang musnah). Kekurangan zat besi mengambil masa untuk berlaku jika seseorang itu mengamalkan diet kurang berkhasiat dalam tempoh lama. Zat besi diperlukan untuk proses penghasilan sel darah merah di dalam sumsum tulang dan membolehkan sel darah berfungsi dengan cekap. Kekurangan zat besi menghalang sumsum tulang menghasilkan hemoglobin yang menjadi unsur penting dalam sel darah merah. Apabila sel darah merah kurang, paras hemoglobin juga rendah. Kadar hemoglobin normal antara 13.8 to 17.2 gm/dL bagi lelaki dan 12.1 to 15.1 gm/dL bagi wanita. # Anemia akibat kekurangan vitamin B12 atau asid folik — Kekurangan kedua-dua vitamin ini menyebabkan sumsum tulang menghasilkan sel darah merah yang sangat besar. Namun, saiz sel darah bukan penentu keupayaan untuk membawa lebih banyak oksigen. # Anemia aplastik — Keadaan ini disebabkan sel sumsum tulang mengalami masalah untuk membentuk dan membahagi secara normal. Akibatnya penghasilan ketiga-tiga komponen darah iaitu sel darah merah, sel darah putih dan platelet berkurangan. # Anemia hemolitik — Sel darah merah lebih cepat pecah daripada biasa. Jangka hayat normal sel darah merah antara 115 hingga 120 hari. Bagi individu anemia hemolitik, kekurangan sel darah berlaku kerana kemusnahan sel darah merah cepat pecah, sedangkan penghasilannya masih pada tahap normal. # Anemia sel sabit — Ini adalah masalah keturunan. Sel darah merah bertukar bentuk menjadi seperti sabit akibat kecacatan genetik. Sel sabit ini sangat mudah pecah dan oksigen tidak dapat memasuki badan. Malah sel sabit ini kerap ‘tersangkut’ dalam sel darah yang halus dan mengakibatkan rasa sakit. Punca anemia # Kekurangan vitamin dan garam galian seperti zat besi, vitamin B12 dan asid folik. Ini antara faktor paling biasa # Kehilangan darah yang banyak akibat haid (yang berpanjangan), ulser atau kecederaan # Kesan sampingan sesetengah ubat seperti aspirin, ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs) dan kemoterapi # Kadar kemusnahan sel darah merah yang tinggi # Keturunan — akibat kehadiran sel sabit (sel darah merah berbentuk tidak normal seperti sabit), penyakit talassemia dan autoimun (kekeliruan sistem pertahanan badan yang menyerang dan memusnahkan sel darah merah) # Kehadiran penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang dan kanser # Pembentukan sel darah merah berkurangan # Tidak cukup zat # Kehamilan # Luka lambat sembuh (termasuk selepas bersalin) # Kanak-kanak yang terlalu cepat membesar dan baligh Kumpulan berisiko tinggi mengalami anemia # Wanita yang alami banyak pendarahan ketika haid # Wanita hamil dan menyusukan anak (memerlukan lebih banyak zat besi). Wanita hamil mempunyai risiko dua kali lebih tinggi mengalami masalah ini # Bayi, kanak-kanak dan remaja yang membesar terlalu cepat # Individu yang tidak cukup zat besi akibat tidak cukup makan # Pesakit buah pinggang kronik, kanser, kencing manis, artritis reumatoid, HIV/Aids dan menghidap penyakit hati Rawatan Oleh kerana ia bukan penyakit, mungkin ada yang menganggap anemia tidak perlu dirawat. Namun tanggapan ini tidak tepat kerana kajian di China membuktikan wanita anemia 15 peratus kurang cekap melakukan kerja berbanding wanita normal. Ia juga disahkan antara punca kelewatan perkembangan minda kanak-kanak yang menjejaskan proses pembelajaran. Pada orang dewasa pula, individu anemia dikatakan lebih mudah mendapat penyakit jantung (kerana jantung dipaksa bekerja keras untuk meningkatkan paras oksigen dalam darah). Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Pantai, Dr Marsita Mansor, berkata rawatan anemia bergantung kepada tahap masalah dialami setiap individu dan bukan sekadar memberi zat besi. “Dalam sesetengah keadaan rawatan zat besi boleh membahayakan, terutama bagi pesakit talassemia, kerana mereka perlu mengambil ubat membuang zat besi berlebihan dalam darah. Biasanya individu anemia kehilangan empat hingga 10 miligram zat besi ketika haid dan 500 miligram zat besi apabila hamil. “Masalah anemia yang tidak dirawat boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan seperti gejala sakit jantung, mengurangkan keupayaan sistem imun, prestasi minda dan simpanan darah periferal. “Wanita anemia mungkin perlu menjalani pemindahan darah selepas bersalin bagi mengurangkan risiko mengalami gejala berkenaan,” katanya. Jenis rawatan bergantung kepada punca anemia. Namun, secara umumnya bagi anemia ringan, rawatan biasanya doktor memberi pil asid folik. Terapi zat besi diberi untuk pesakit yang alami anemia akibat kekurangan zat besi. Jika anemia disebabkan pendarahan ulser, doktor akan menghentikan pendarahan berkenaan. Pada masa sama, individu anemia perlu memberi lebih perhatian kepada pemakanan mereka dengan melebihkan pengambilan makanan mengandungi zat besi seperti daging, ayam, itik, ikan, bijirin, sayur-sayuran berdaun hijau dan buah-buahan yang kaya vitamin C. Elak makanan mengandungi asid fitik dan tanik seperti roti rye, kopi, teh, kola dan coklat kerana ia menghalang penyerapan zat besi daripada makanan. “Paling penting, amalkan pemakanan seimbang, terutama pesakit yang dikategorikan sebagai kronik seperti pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi. Jangan menolak atau melengahkan jika anda perlu menjalani pemindahan darah,” katanya. p/s : Aku cari maklumat yang berkaitan dengan penyakit anemia di internet dan berkongsi di blog ini kerana mak aku juga mengalami simptom-simptom yang sama dengan penyakit anemia. Masih belum mendapat pengesahan dari doktor namun aku harap dia akan sentiasa dalam keadaan sihat. Mak aku perlu menguruskan keluarga yang besar dan dia sentiasa kelihatan letih dan tidak bermaya samaada semasa membuat kerja mahupun setelah selesai. Dan bagi mak aku,dia memerlukan masa yang agak lama untuk berehat supaya kembali kepada keadaan asal. Kadang-kadang, sehari suntuk dia tidak dapat buat apa-apa kerana seluruh badannya lemah. Ketika inilah anak-anak perlu memainkan peranan. Aku harap aku dapat membantu mak aku walaupun sedikit kerana peluang untuk kita berkhidmat kepada ibu bapa kita adalah tidak lama,dan kesibukan juga banyak menghalang kita dari melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan. |
CHOCOLATES RECIPES
Chocolate contains many of the health benefits of dark vegetables. It contains antioxidants that protect the body from aging caused by free radicals,which can cause damage that leads to heart disease. The main reasons that i like chocolates so much are,they have a great sweet taste..we can feel the satisfaction when the chocolates slowly melt in our mouth..and there are many types of chocolates in this world.. Different chocolates will have a different taste and satisfaction..
Monday, 8 August 2011
Anemia punca mudah letih
Subscribe to:
Posts (Atom)